SEPTEMBER 2023

UNIFOR Pantau Projek Rumah Ibadat, Sekolah Mubaligh


KUCHING: Unit Hal Ehwal Agama Agama Lain (UNIFOR) sentiasa memantau projek rumah ibadat agama lain dan sekolah mubaligh yang menggunakan dana dari Kerajaan Sarawak.

Timbalan Premier yang juga Menteri Bertanggungjawab UNIFOR, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pegawai  UNIFOR akan sentiasa turun padang memantau perkembangan projek terbabit.

"Ini agar langkah intervensi dapat diambil jika perlu bagi memastikan projek dapat disiapkan dalam kos dan tempoh masa yang ditetapkan," katanya di Majlis Penyerahan Cek Bantuan Dana Rumah Rumah Ibadat Agama Agama Lain 2023 (Fasa 3).

Uggah berkata, pada pengagihan fasa pertama yang lalu, UNIFOR telah mengagihkan dana sejumlah RM3 juta untuk kegunaan the House Of  Epiphany, Gereja St Thomas, Kuching yang telah diluluskan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya, pada pengagihan fasa kedua, sebanyak RM31.945 juta telah diagihkan kepada 219 projek.

"Untuk fasa ketiga ini, peruntukan untuk rumah-rumah ibadat  berjumlah RM15.214 juta bagi 94 projek telah diluluskan," katanya dan ini kesenambungan peruntukan dari fasa kedua.

Beliau berkata, bagi Sekolah Mubaligh pula, sebanyak RM20 juta diagih untuk 127 sekolah.

Katanya, pengagihan fasa pertama, sebanyak RM3 juta telah disampaikan  kepada SMK St. Theresa Kuching yang telah juga diluluskan oleh Premier.

"Pada Pengagihan fasa kedua, sejumlah RM17 juta telah diagihkan kepada 126 sekolah mubaligh," tambahnya.

Sumber dari : Jiwa Bakti